Saturday, 17 October 2015

rakan sebaya mempengaruhi perkembangan sosioemosi kanak-kanak



   Assalamualaikum sahabat pena sekalian, tahukah anda bahawa rakan sebaya merupakan individu penting untuk kita setelah ibu bapa dan keluarga?
   Apakah yang dimaksudkan dengan rakan sebaya? Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 rakan sebaya ditakrifkan sebagai sahabat yang sama umurnya. Rakan sebaya juga boleh dimaksudkan dengan sahabat daripada lingkungan latar belakang yang sama dan suka bersama dalam pelbagai aktiviti dan matlamat atau dalam kata lain mempunyai minat yang sama.
   Antara peranan-peranan rakan sebaya ialah mereka boleh menjadi kawan kerana mereka boleh memberi pengaruh yang positif atau kebaikan antara satu sama lain. Mereka juga kadang kala boleh menjadi lawan kepada kita kerana mereka mampu mempengaruhi kita dalam bentuk yang negatif atau kejahatan. Rakan sebaya yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang baik akan terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan aktiviti meningkatkan kemahiran diri manakala rakan sebaya daripada kalangan pelajar-pelajar yang bermasalah akan memberi kesan yang sama kepada rakan-rakan yang lain. Ini kerana rakan sebaya yang negatif mempengaruhi rakan yang lain untuk bertingkah laku bertentangan dengan tuntutan agama dan norma-norma masyarakat. Nilai-nilai murni yang ditanam dalam kalangan pelajar sejak kecil lagi mungkin tidak mempunyai kesan yang banyak terhadap pengaruh tingkah laku sekiranya pelajar berkenaan tidak berupaya menolak pengaruh rakan sebaya. Keupayaan untuk menolak pengaruh rakan sebaya adalah satu kemahiran penting yang perlu diperolehi oleh remaja agar remaja berkenaan boleh berperilaku sejajar dengan nilai yang dianutinya.

   Untuk pengetahuan kita semua, rakan sebaya juga adalah orang-orang yang paling hebat dalam membantu kita mencapai kejayaan akademik. Hal ini demikian, mereka ini mempunyai tahap pemikiran yang sama dengan kita. Jadi, jika mereka memahami sesuatu, mereka boleh terangkan kepada kita dengan lebih mudah. Rakan sebaya juga boleh menjadi sumber rujukan dan sistem sokongan kepada kita. Namun, kita perlu berhati-hati, kerana tidak semua rakan sebaya boleh membantu kita dan pastinya akan ada yang cuba menarik kita ke arah kegagalan walaupun itu bukan niat mereka sebenarnya. Mereka juga turut menyumbang kepada berlakunya masalah gejala sosial terutamanya kepada pelajar-pelajar yag tercicir dalam pelajaran dan mengalami masalah keluarga. Ini adalah fakta yag mengatakan bahawa pengaruh rakan sebaya memang antara punca utama yang boleh membuatkan pelajar bersikap kurang ajar, nakal dan jahat tetapi juga berpotensi untuk ponteng sekolah yang mana pelajar akan mengalami masalah kemerosotan disiplin.
   Nasihat saya, dekati rakan-rakan yang berfikiran positif, rajin dan bersemangat tinggi untuk berjaya. Dalam masa yang sama, kurangkan masa yang kita luangkan dengan pelajar-pelajar yang malas, bermasalah disiplin dan suka merungut. Gabungan tindakan kita ini akan menaikkan semangat kita untuk belajar dengan lebih baik dan lancar tanpa gangguan masalah rakan sebaya.
   Tuntasnya, rakan sebaya memainkan peranan yang penting dalam menentukan arah kehidupan kita. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati ketika memilih rakan sebaya, kerana bukan semua rakan sebaya patut dijadikan kawan kerana akan ada yang mempengaruhi ke arah kebaikan dan akan ada yang akan mempengaruhi ke arah kejahatan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;" Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu memperhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan." Samada berperanan sebagai seorang kawan mahupun lawan, pilihlah rakan dengan bijak. Kesilapan memilih rakan sebaya pasti akan mengakibatkan keruntuhan akhlak, gejala sosial yang berleluasa dan kemerosotan disiplin. Ingatlah, rakan ketawa mudah dicari, rakan menangis uskar dicari. Sekian sahaja, terima kasih.